Wednesday 15 October 2008

Dipetik dari blog Nurhasilah "10 SEBAB MENGAPA MUHYIDDIN LAYAK MENJADI TPM


Persaingan merebut jawatan dalam Umno bukan sahaja diikuti oleh golongan politik. Tetapi rakyat biasa macam saya yang bukan ahli mana-mana parti pun kena ambil pusing. Mestilah, kerana Presiden dan Timbalan Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagi saya, Datuk Seri Najib Tun Razak memang dah pasti jadi Presiden Umno, dan kemudian Perdana Menteri Malaysia. Maka, yang menjadi persoalan dan perhatian ialah jawatan nombor dua.

Saya mahu menyuarakan kehendak saya sebagai seorang rakyat biasa mengapa Muhyiddin patut jadi Timbalan Presiden Umno dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri. Saya ada 10 sebab mengapa saya memohon rakyat Malaysia, terutama ahli Umno mesti memilih Muhyiddin.

1. Di segi pengalaman dalam Umno dan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, Muhyiddin paling berpengalaman. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini telah menjawat pelbagai jawatan kabinet dan mempunyai banyak rekod kejayaan.

2. Di peringkat akar umbi dia dihormati oleh semua kaum dan semasa menjadi Menteri Besar Johor juga dia bukan sahaja banyak membangunkan Johor, tetapi juga membangunkan sukan, terutama bolasepak negeri Johor.

3. Orang Johor juga tahu Muhyiddin bukan “kaki mengampu” seperti sesetengah pemimpin lain yang suka menjilat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Sultan dan Raja.

4. Pemimpin mesti berani dan Muhyiddin mempunyai keberanian. Lihat sahaja keberanian dia menyampaikan perasaan golongan akar umbi terhadap kepimpinan Pak Lah. Dia hampir kena “belasah” kerana tindakannya itu. Teruk dia dihentam sana sini di peringkat atasan, tapi dia tidak goyah dan tetap “cool”. Dia buat kerana Umno dan bukan kerana kepentingan diri.

5. Siapa yang boleh lupa skandal Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan kes pembelian hartanah di Australia beberapa tahun lalu? Rakyat tak mudah lupa! Lagipun sejak dia diterima kembali ke dalam kabinet dan memegang tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, tak nampak apa-apapun pencapaian yang membanggakan.

6. Walaupun dalam pemilihan 2004, Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam mendapat undi kedua terbanyak, mendahului Muhyiddin – itu dulu. Kini Ali dah bangkitkan kemarahan satu Malaysia kerana menyokong pemberian anugerah “Datuk” kepada Shah Rukh Khan (SRK). Dengan kes terbaru ini memang payah Ali mendapatkan lebih banyak pencalonan. Mungkin, kalau dia tawarkan semua pemimpin Umno bahagian gelaran Datuk jika mengundinya, maka peluangnya amat cerah.

7. Setakat ini Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan mudah mendapat 25 pencalonan dan ini menunjukkan Umno peringkat akar umbi merestuinya.

8. Dalam Umno, Muhyiddin bermula dari bawah tanpa “family connections” dan setia dengan Umno.

9. Peranan isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee juga boleh dijadikan faktor. Beliau,tidak seperti kebanyakan isteri-isteri Menteri yang lain, mempunyai sifat yang terpuji, iaitu tidak sombong, tidak suka berlagak, mesra rakyat dan mesra wartawan.

10. Nur Jazlan pula belum cukup ilmu dan pengetahuan. Buat perabih beras sahaja.

No comments: