Tuesday 1 June 2010

DARJAH KEBESARAN PERSEKUTUAN - KESATRIA MANGKU NEGARA (K.M.N.)

Kesatria Mangku Negara ialah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Keempat. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berjasa tinggi dan cemerlang. Bagi pegawai kerajaan, mereka yang layak dipertimbang ialah yang berada dalam Tingkatan Gred 1 atau 2 atau setaraf dengannya. Bilangan keanggotaan bagi Darjah ini tidak terhad. Boleh dikurniakan kepada warganegara asing sebagai kurniaan kehormat.
Lencana Darjah bagi Kesatria Mangku Negara ini sama bentuknya dengan Lencana Darjah Johan Mangku Negara. Ukurannya ialah 2 inci pada garis pusatnya. Lencana Darjah ini tersangkut pada pita yang lebarnya satu inci setengah. Warna pita ini sama dengan pita Johan Mangku Negara. Di atas pita ini terdapat sebilah keris dan kedudukan keris ini menegak dan matanya menghala ke bawah. Keris ini dilingkungi satu bulatan. Cara memakainya ialah dengan menyematkannya di dada. Bagi wanita, pitanya mempunyai reben manakala Lencana Darjahnya disangkutkan di bawah ikatan reben yang berkenaan. Keris yang ada dalam bulatan disematkan atas ikatan reben tersebut. Anugerah Kesatria Mangku Negara ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 25 Ogos 1958.


 
Keistimewaan bagi Penyandang Darjah Kebesaran Persekutuan

Rakyat Malaysia yang telah menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan mempunyai beberapa keistimewaan dan mendapat beberapa kemudahan. Antaranya adalah seperti berikut :-

1. Bagi pegawai kerajaan, penganugerahan ini akan ditulis dalam buku rekod perkhidmatan.
2. Penyandang boleh menggunakan huruf ringkas darjah kebesaran, bintang atau pingat yang diterimanya, dihubungkan selepas namanya, contohnya

Mohd Ali b. Hashim AMN
atau
Ab. Rahman b. Salleh JSM, KMN

3. Penyandang boleh memakai darjah kebesaran, bintang atau pingat yang diterimanya dalam majlis-majlis yang mengkehendaki dia memakainya. Walau bagaimanapun pemakaiannya hendaklah mematuhi tatacara pemakaian yang telah ditetapkan.

4. Bagi anggota tentera dan polis, mereka boleh memakai pita bintang dan pingat yang dianugerahkan sebagai sebahagian daripada pakaian seragamnya.

5. Seseorang yang telah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran akan menggunakan gelaran tersebut sebagai tanda penghormatan yang dimiliki. Gelaran-gelaran tersebut ialah :-

(i) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) bergelar “Tun”.
(ii) Seri Setia Mahkota (SSM) bergelar “Tun”.
(iii) Panglima Mangku Negara (PMN) bergelar “Tan Sri”.
(iv) Panglima Jasa Negara (PJN) bergelar “Datuk”
(v) Panglima Setia Diraja (PSD) bergelar “Datuk”.

6. Isteri penyandang darjah kebesaran yang membawa gelaran juga akan mendapat gelaran secara automatik iaitu :-
(i) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) isteri bergelar “Toh Puan”.
(ii) Seri Setia Mahkota (SSM) isteri bergelar “Toh Puan”.
(iii) Panglima Mangku Negara (PMN) isteri bergelar “Puan Sri”.
(iv) Panglima Setia Mahkota (PSM) isteri bergelar “Puan Sri”.
(v) Panglima Jasa Negara (PJN) isteri bergelar “Datin”.
(vi) Pangliam Setia Diraja (PSD) isteri bergelar “Datin”.

7. Mereka yang bergelar “Tun” mempunyai panggilan hormat “Yang Amat Berbahagia” dan mereka yang bergelar “Tan Sri” dan “Datuk” mempunyai panggilan hormat “Yang Berbahagia”.

8. Penyandang darjah kebesaran yang tinggi akan disenaraikan dalam susunan keutamaan Persekutuan. Darjah Kebesaran Persekutuan yang tersenarai dalam susunan keutamaan Pesekutuan ialah :-
(i) Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
(ii) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN).
(iii) Seri Setia Mahkota (SSM).
(iv) Panglima Mangku Negara (PMN).
(v) Panglima Setia Mahkota (PSM).
(vi) Panglima Jasa Negara (PJN).
(vii) Panglima Setia Diraja (PSD).
(viii) Johan Mangku Negara (JMN).
(ix) Johan Setia Mahkota (JSM).
(x) Johan Setia Diraja (JSD).

9. Penyandang darjah kebesaran yang tinggi akan diberi kemudahan menggunakan bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan negeri-negeri. Ini terhad kepada penyandang :-

(i) Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
(ii) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN).
(iii) Seri Setia Mahkota (SSM).
(iv) Panglima Mangku Negara (PMN).
(v) Panglima Setia Mahkota (PSM).
(vi) Panglima Jasa Negara (PJN).
(vii) Panglima Setia Diraja (PSD).

No comments: