Monday 3 January 2011

LIPATAN SEJARAH: PENUBUHAN PERGERAKAN MELAYU SEMENANJUNG JOHOR


Pada hari ini 03.01.1946, sebuah Persatuan Melayu telah ditubuhkan dengan nama Pergerakan Melayu Semenanjung Johor. Penubuhan Pergerakan itu adalah hasil dari persetujuan yang telah dicapai oleh 8 buah persatuan di antara beberapa buah Persatuan Melayu dan Perwakilan Daerah yang terdapat di... seluruh negeri Johor. Persatuan-persatuan dan perwakilan-perwakilan itu ialah Persatuan Melayu Kluang, Kesatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Johor Baharu, Lembaga, Wakil Batu Pahat, Persatuan Melayu Segamat, wakil Mersing dan wakil Pontian. Pergerakan Melayu Semenajung Johor ini dipimpin oleh Dato' Onn Bin Jaafar, dengan tujuan untuk menentang Malayan Union; menyatukan dan mengawal keselamatan orang-orang Melayu akibat dari pergaduhan kaum yang pada mulanya berlaku di Batu Pahat dan kemudian merebak ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ke Lambar Kanan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan) dan Daerah Kuala Kangsar, Perak, dan ke Daerah Raub Pahang; menyatukan orang-orang Melayu dan berjuang serta mempertahankan hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan pada peringkat akhirnya Pergerakan itu bertujuan untuk menjadi badan dan penyuara dalam memperjuangkan hak-hak serta kehidupan orang-orang Melayu keseluruhannya. Pergerakan Melayu Semenanjung Johor di bawah pimpinan Dato' Onn Bin Jaafar telah menjadi penganjur kepada perhimpunan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) yang diadakan pada 1, 2, 3 dan 4hb. Mac 1946. Kongres yang dihadiri oleh para wakil 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan yang mewakili seluruh orang-orang Melayu dalam gerakan menentang Malayan Union. Badan itu lahir dengan nama "Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu" atau "United Malays National Organization" (UMNO) iaitu semasa Kongres bersidang buat kali yang ke 3 pada l lhb, dan 12hb Mei 1946, di Istana Besar, Johor Baharu. Dengan tertubuhnya UMNO di bawah pimpinan Dato' Onn Bin Jaafar sebagai Presidennya yang pertama maka Kongres Melayu Se Tanah Melayu dimansuhkan mengikut ketetapan Majlis Mesyuarat yang bersidang pada 11 hb. Mei 1946, dan segala pekerjaan diterima dan dijalankan oleh “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Dengan tertubuhnya UMNO, maka Pergerakan Melayu Semenanjung Johor telah mansuh dengan sendirinya. Segala perjuangan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor disalurkan dan menjadi perjuangan UMNO.

No comments: