Tuesday 15 June 2010

GABUNGAN ANAK PAGOH (GAPa)


berikut aku nyatakan beberapa maklumat ringkas berkaitan dengan cadangan penubuhan GABUNGAN ANAK PAGOH (GAPa)....

2. Sukacita dimaklumkan bahawa YAB. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin, Timbalan Perdana
Menteri Malaysia, merangkap Ahli Parlimen Malaysia (kawasan Pagoh) pada masa ini sedang mengambil inisiatif mengemas kini senarai anak Pagoh yang sedang berkhidmat di IPTA, sama ada sebagai ahli akademik mahupun pentadbir (gred jawatan 27 dan ke atas).
3. Usaha ini diambil sebagai langkah awal merintis penubuhan Gabungan Anak Pagoh
(GAPa). Pada prinsipnya GAPa bukan merupakan sebuah pertubuhan politik. Penubuhan GAPa membolehkan anak-anak Pagoh dapat bernaung di bawah satu bumbung untuk menyumbang pemikiran, pengalaman dan kepakaran bagi manfaat masyarakat penduduk tempatan khasnya kemajuan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan pada masa kini dan masa depan. Keahlian GAPa adalah terbuka kepada anak Paqoh dari pelbagai banqsa dan agama yang sedang bertugas di IPTA. la akan diperluaskan ke IPTS secara berperingkat.
4. Tafsiran anak Pagoh pada asasnya merangkumi prinsip berikut;
i. Mereka dilahirkan dan dibesarkan di mana-mana mukim dalam kawasan Parlimen Pagoh,
meliputi mukim Gerisek, Bukit Serampang, Jorak, Lenga, Panchor atau Bukit Kepong.
ii. Pernah mendapat pendidikan awal (sekolah rendah) di mana-mana sekolah dalam
kawasan Parlimen Pagoh.
iii. Dalam keadaan tertentu, mereka yang dilahirkan di mana-mana mukim dalam Parlimen
Pagoh, tetapi belum sempat bersekolah rendah di mana-mana sekolah dalam Parlimen
Pagoh, telah berpindah ke daerah lain dalam negeri Johor atau di luar negeri Johor kerana mengikuti ibu bapa bertugas, boleh juga didaftarkan dan layak menjadi ahli GAPa.
5. Dalam konteks Universiti/lPTA, warga kerja yang boleh menyertai GAPa dan perlu
didaftarkan adalah meliputi staf dalam semua skim perkhidmatan termasuk gred N, Q, DG, DS,S, W, U, F, J dan sebagainya dari gred 27 - Jusa A.
6. YAB. Timbalan Perdana Menteri Malaysia akan melancarkan penubuhan GAPa dalam bulan Jun 2010. Ahli GAPa yang telah membuat pendaftaran akan dijemput hadir ke majlis ini. Tarikh dan tempat akan dimaklumkan kemudian.

Yang benar,

MOHD HANAFIAH OMAR
Ketua Penolong Pendaftar
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penaja
Gabungan Anak Pagoh (GAPa) IPTA

Tuesday 1 June 2010

DARJAH KEBESARAN PERSEKUTUAN - KESATRIA MANGKU NEGARA (K.M.N.)

Kesatria Mangku Negara ialah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Keempat. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berjasa tinggi dan cemerlang. Bagi pegawai kerajaan, mereka yang layak dipertimbang ialah yang berada dalam Tingkatan Gred 1 atau 2 atau setaraf dengannya. Bilangan keanggotaan bagi Darjah ini tidak terhad. Boleh dikurniakan kepada warganegara asing sebagai kurniaan kehormat.
Lencana Darjah bagi Kesatria Mangku Negara ini sama bentuknya dengan Lencana Darjah Johan Mangku Negara. Ukurannya ialah 2 inci pada garis pusatnya. Lencana Darjah ini tersangkut pada pita yang lebarnya satu inci setengah. Warna pita ini sama dengan pita Johan Mangku Negara. Di atas pita ini terdapat sebilah keris dan kedudukan keris ini menegak dan matanya menghala ke bawah. Keris ini dilingkungi satu bulatan. Cara memakainya ialah dengan menyematkannya di dada. Bagi wanita, pitanya mempunyai reben manakala Lencana Darjahnya disangkutkan di bawah ikatan reben yang berkenaan. Keris yang ada dalam bulatan disematkan atas ikatan reben tersebut. Anugerah Kesatria Mangku Negara ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 25 Ogos 1958.


 
Keistimewaan bagi Penyandang Darjah Kebesaran Persekutuan

Rakyat Malaysia yang telah menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan mempunyai beberapa keistimewaan dan mendapat beberapa kemudahan. Antaranya adalah seperti berikut :-

1. Bagi pegawai kerajaan, penganugerahan ini akan ditulis dalam buku rekod perkhidmatan.
2. Penyandang boleh menggunakan huruf ringkas darjah kebesaran, bintang atau pingat yang diterimanya, dihubungkan selepas namanya, contohnya

Mohd Ali b. Hashim AMN
atau
Ab. Rahman b. Salleh JSM, KMN

3. Penyandang boleh memakai darjah kebesaran, bintang atau pingat yang diterimanya dalam majlis-majlis yang mengkehendaki dia memakainya. Walau bagaimanapun pemakaiannya hendaklah mematuhi tatacara pemakaian yang telah ditetapkan.

4. Bagi anggota tentera dan polis, mereka boleh memakai pita bintang dan pingat yang dianugerahkan sebagai sebahagian daripada pakaian seragamnya.

5. Seseorang yang telah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran akan menggunakan gelaran tersebut sebagai tanda penghormatan yang dimiliki. Gelaran-gelaran tersebut ialah :-

(i) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) bergelar “Tun”.
(ii) Seri Setia Mahkota (SSM) bergelar “Tun”.
(iii) Panglima Mangku Negara (PMN) bergelar “Tan Sri”.
(iv) Panglima Jasa Negara (PJN) bergelar “Datuk”
(v) Panglima Setia Diraja (PSD) bergelar “Datuk”.

6. Isteri penyandang darjah kebesaran yang membawa gelaran juga akan mendapat gelaran secara automatik iaitu :-
(i) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) isteri bergelar “Toh Puan”.
(ii) Seri Setia Mahkota (SSM) isteri bergelar “Toh Puan”.
(iii) Panglima Mangku Negara (PMN) isteri bergelar “Puan Sri”.
(iv) Panglima Setia Mahkota (PSM) isteri bergelar “Puan Sri”.
(v) Panglima Jasa Negara (PJN) isteri bergelar “Datin”.
(vi) Pangliam Setia Diraja (PSD) isteri bergelar “Datin”.

7. Mereka yang bergelar “Tun” mempunyai panggilan hormat “Yang Amat Berbahagia” dan mereka yang bergelar “Tan Sri” dan “Datuk” mempunyai panggilan hormat “Yang Berbahagia”.

8. Penyandang darjah kebesaran yang tinggi akan disenaraikan dalam susunan keutamaan Persekutuan. Darjah Kebesaran Persekutuan yang tersenarai dalam susunan keutamaan Pesekutuan ialah :-
(i) Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
(ii) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN).
(iii) Seri Setia Mahkota (SSM).
(iv) Panglima Mangku Negara (PMN).
(v) Panglima Setia Mahkota (PSM).
(vi) Panglima Jasa Negara (PJN).
(vii) Panglima Setia Diraja (PSD).
(viii) Johan Mangku Negara (JMN).
(ix) Johan Setia Mahkota (JSM).
(x) Johan Setia Diraja (JSD).

9. Penyandang darjah kebesaran yang tinggi akan diberi kemudahan menggunakan bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan negeri-negeri. Ini terhad kepada penyandang :-

(i) Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
(ii) Seri Maharaja Mangku Negara (SMN).
(iii) Seri Setia Mahkota (SSM).
(iv) Panglima Mangku Negara (PMN).
(v) Panglima Setia Mahkota (PSM).
(vi) Panglima Jasa Negara (PJN).
(vii) Panglima Setia Diraja (PSD).